gua.com.my artikel oleh Syaliza Shapiansuri, 13 Julai 2008
Berapa ramai antara kita begitu menghargai seni sehingga sanggup menjadikannya sumber utama mata pencarian? Mungkin ada yang memperlekeh, tetapi hakikatnya, seni ini memberi peluang lumayan kepada pengamalnya.
Itulah yang dilalui Abdul Multhalib Musa, seorang penggiat seni arca logam. Melihat kepada arca yang dihasilkannya, segala usahanya nyata amat berbaloi dengan pulangan yang diterima.
Tahap kesabaran yang tinggi, itulah yang diperlukan untuk menghasilkan satu kerja seni yang cukup eksklusif. Tidak ramai penggiat seni arca logam seperti Multhalib, barangkali seni arca memerlukan komitmen dan penelitian terperinci, jadi apabila muncul dengan hasil seninya, peminat teruja melihatnya.
“Sabar adalah aspek penting untuk menghasilkan arca logam. Selain itu, saya mengaplikasi apa yang dipelajari ketika di universiti ke dalam setiap rekaan,” katanya.
Meminati seni semenjak di bangku sekolah, Multhalib tidak hanya ‘suka-suka’ ketika menghasilkan kerja seni. Waktu itu minatnya lebih kepada seni halus (lukisan) dan sering memasuki pertandingan serta pernah memenangi anugerah di peringkat kebangsaan.
Antara pertandingan yang pernah dimasukinya ialah Minggu Cegah Kebakaran Kebangsaan (1991, juara), Galeri Shah Alam; Pameran dan Pertandingan Warna Air (1993, naib juara), Balai Seni Lukis Negara dan ‘World-Wide Millennium’ (1999, anugerah khas), Kuala Lumpur.
Lulusan Senibina
Minat yang bercambah dalam bidang seni arca logam membuatkan dia nekad menceburi bidang ini walaupun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kajian Rekabentuk di Universiti Adelaide, Australia dan menyambung pengajian Ijazah Sarjana Senibina (Kepujian) di UiTM.
Selama setahun menimba ilmu seni dan bereksperimen sebagai artis residen Rimbun Dahan, Multhalib berpuas hati dengan apa yang boleh dihasilkannya kini. Setakat ini bukan sahaja Balai Seni Lukis Negara tetapi pelbagai lagi pameran yang pernah memperlihatkan karya arca logam ciptaannya.
Terbaru, Multhalib menghasilkan arca logam bertajuk Twist. Melalui Twist, Multhalib bereksperimen dengan logam dan menghasilkan satu item yang cukup menarik. Tiada sebarang maksud tertentu dalam karya Twist, sebaliknya lebih memperlihatkan ekspresi kreativitinya.
Multhalib sebenarnya sangat dikenali di kalangan penggiat seni tempatan dan namanya gah sehingga karyanya banyak menghiasi lobi hotel dan ruang pejabat. Bukan sahaja di Malaysia, karyanya turut mendapat perhatian di China, Indonesia, Jepun dan Sweden.
“Twist mengambil masa dua ke tiga tahun untuk mendapatkan idea sebelum final touch yang mengambil masa hanya seminggu sahaja. Keseluruhan arca logam yang dihasilkan untuk koleksi Twist adalah sebanyak 13,” katanya yang pernah menghasilkan koleksi arca Swirl ketika mengadakan pameran solo di Australian High Commision, Kuala Lumpur pada May 2005.






