Monday, July 7, 2008

Utusan Malaysia: Estetika dan Kebebasan seni dalam Twist

Utusan Malaysia: Mega, Isnin, 7 Julai, 2008, ms 24.
ABDUL Muthalib Musa di samping karyanya pada pameran solo Twist
di Galeri Wei-Ling, Kuala Lumpur hingga 10 Julai ini.
SENI tampak adalah sebuah gerakan yang melibatkan proses pembuatan yang memberikan kepuasan, kenyataan estetika dan nilai-nilai filosofi yang merangkumi ungkapan ekspresi dan gubahan fungsional.
Perkembangan seni tampak daripada tradisional ke moden dalam semua genre memperlihatkan sebuah anjakan yang drastik - perubahan asas seni yang didominasi oleh pemikiran Eropah Barat, Amerika kepada era globalisasi yang ditentukan oleh aliran-aliran kekuatan seni negara-negara maju.
Fenomena globalisasi inilah yang mewarnai sebahagian besar seni tampak moden dunia termasuk Malaysia hari ini, meskipun usaha mempertahankan nilai-nilai tradisi dan kebudayaan setempat masih menebal.
Bagaimanapun kekuatan kapitalisme dan budaya multinasional dalam era globalisasi, mengakibatkan banyak kegiatan seni tampak dunia mahu atau tidak terpaksa mengikut rentak semasa yang lebih rencam.
Di sisi lain, persoalan ini memberi impak positif tersendiri. Karya-karya tidak lagi terlalu terikat kepada tradisionalisme. Sebaliknya, ia mendorong kepada kebebasan seni yang lebih luas dan matang.
Keterbukaan ekonomi misalnya secara tidak langsung menumbuhkan seni instalasi, grafik, digital dan karya-karya arca yang mengarah kepada fenomena globalisasi atau keperluan semasa.
Globalisasi juga memberi impak besar pada genre seni fungsional — busana, hiasan dalaman dan barangan sehari-hari yang akhirnya turut mempengaruhi seni halus, arca, seni digital dan sebagainya.
Abad moden, menurut ahli sejarah seni lukis, H.W. Janson, ditandai dengan meletusnya Revolusi Perancis, Revolusi Industri di England dan perkembangan demokrasi di Amerika Syarikat. Ketiga-tiga peristiwa besar itu sangat mempengaruhi terbentuknya seni tampak moden dunia terutama di awal abad ke-19.
Salah satu ciri pembentukan seni tampak moden itu ialah kemunculan seni grafik yang menandai semangat industri dan kebebasan dalam berkarya yang sedikit sebanyak mula mengikis nilai-nilai estetika yang menjadi keutamaan dalam seni tradisional.
Pada tahun 1841, arkitek British, Welby Pugin untuk pertama kalinya menafikan estetika dalam seni tampak. Dia menulis; “Keindahan tidak diperlukan lagi untuk keselesaan, perilaku dan moral,
Pada 1908, pereka Austria, Adolf Loos menyatakan kekagumannya terhadap kemampuan mesin dalam menghasilkan produk seni dalam rencananya, Ornament and Crime; — “produk mesin indah selama tidak disertai dengan hiasan,”.
Dalam erti kata lain, Loos berpendapat, estetika seni harus mengikut peredaran zaman dan produk seni yang dihasilkan menggunakan mesin atau jentera juga tetap memiliki nilai-nilai seni.
Persoalannya adakah pendapat tersebut tepat atau hanya sebuah teori ketika masyarakat pasca Revolusi Industri di Barat sedang ghairah mengembangkan penggunaan teknologi termasuk dalam pembuatan produk seni?
Jika diteliti dalam perkembangan seni tampak moden di Timur termasuk Malaysia, teknologi tidak pernah mengabaikan estetika walaupun ia menyediakan ruang kebebasan yang cukup luas untuk berkarya.
Interpretasi
Intepretasi kebebasan inilah yang ditemukan dalam pameran solo Twist oleh Abdul Multhalib Musa yang berlangsung di Galeri Wei-ling, Kuala Lumpur hingga 10 Julai ini.
Ia menampilkan sebuah kebebasan eksperimen menggunakan kepingan-kepingan besi padu membentuk arca yang unik, menarik tetapi pada masa yang sama cuba membina estetika seni melalui proses grafik yang rumit.
Kepingan-kepingan besi melalui teknik pemotongan laser disusun dan dicantum membentuk sebuah ritma dan alunan emosi yang cukup memukau.
Emosi dan kebebasan dalam eksperimen diluahkan secara bebas melalui susunan kepingan yang membentuk putaran tertentu tetapi dalam pada masa menelusuri luahan emosi dan ruang melankolik batinnya.
Tanpa disedari, karya-karya Abdul Muthalib mengutarakan sebuah kenyataan kesimbangan emosi, antara ketenangan dan kegusaran, kegembiran dan kesedihan atau apa sahaja antara dua elemen yang saling kontra.
“Setiap karya saya tidak mempunyai tema dan tujuan khusus ia dihasilkan. Sebaliknya ia sebuah kenyataan saya tentang kebebasan membina struktur serta putaran grafik melalui kepingan-kepingan besi itu,” katanya.
Mungkin pandangan pereka sosialis British, William Morris cukup untuk menilai karya-karya Abdul Muthalib tersebut. Dia melihat estetika seni tetap hidup selagi produk seseorang mampu memberikan kebahagiaan pada pembuat dan khalayak.
“Seni bukan hanya untuk masyarakat, tapi juga dibuat oleh masyarakat. Apa sahaja yang boleh memberi ketenteraman dan keselesaan kepada pembuat dan `penggunanya’ tetap sebuah karya yang baik,” tulisnya.
Oleh itu, ditangan Abdul Muthalib, seni tidak lagi La belle arti del disegno (sebuah karya seni yang indah). Ia justeru sebuah eksperimen dan percubaan mencari bentuk produk seni dalam wacana modenisme.
Karya-karyanya Twist 3.3, Twist 3.2 dan Twist 4.2 misalnya membuktikan bahawa seni tampak moden mempunyai perkembangan tetap mengutamakan ekspresi seni walaupun dinyatakan dengan pendekatan yang berbeza berbanding seni tradisional.